Buat masa ini, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat. Namun begitu, orang awam yang ingin mengadakan lawatan ke mana-mana negara di Semenanjung Arab dan negara-negara yang kini melaporkan kejadian wabak jangkitan MERS-CoV, pihak KKM ingin menasihatkan mengenai perkara-perkara berikut:

 

  • Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman;

  • Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;

  • Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di Negara tersebut;

 

Khusus bagi para pelawat ke negara di Semenanjung Arab, semasa dalam tempoh lawatan:

  • Elakkan dari melawat ke ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta.

  • Elakkan dari minum susu unta mentah atau air kencing unta.

  • Elakkan dari makan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna, terutama sekali daging unta.

 

Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat, khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di Malaysia, sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti batuk dan kesukaran bernafas) adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera serta memaklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat. Sebaik mengalami gejala tersebut, hadkan pergaulan dengan individu sihat di sekeliling dan pakai penutup mulut dan hidung (face mask) apabila terpaksa berhubung / berurusan dengan orang lain.

 

Disediakan Oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Januari 2017

 

Surat-Larangan-Ke-Ladang-Unta
Surat Larangan Lawatan Ke Ladang Unta Sebagai Langkah Penting Pencegahan Penyakit Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV)